...........|| Monday, December 18, 2006 ||

Ternyata 2 x 5

"Dulu saya selalu berpendapat bahwa hanya TKA (Tenaga kerja Asing) dari Indonesia saja yang selalu jadi bulan-bulanan. Di tipu agen tenaga kerja, masuk tanpa ijin yang sah, sampai di pekerjakan di tempat-tempat pelacuran. Tapi ternyata pendapat saya salah, terbukti ada rakyat Malaysia yang jadi korban agen TKA terombang-ambing di Singapura.
Rakyat Indonesia menggantungkan harap demi sesuap nasi di Malaysia, tapi ternyata rakyat Malaysia malah mengadu nasib ke Singapura"....Berikut beritanya...


Azab di Singapura
SINGAPURA: “Tak pernah saya kutip makanan dalam tong sampah atau rokok di atas jalan raya di tanah air, tapi untuk hidup di sini, saya terpaksa menelan roti busuk,” keluh Hafizi Yusuf, 28, warga Malaysia yang terkandas bersama isterinya di republik ini, gara-gara ditipu ejen pekerjaan.

Lebih malang, dia yang tiba di sini pada 6 Oktober lalu, bukan saja hidup merempat, malah terpaksa memikirkan keselamatan isterinya, Nor Alma Musip, 20.

Menurut Hafizi, ketika ini, dia bersama isteri terpaksa tinggal di bawah jambatan sungai atau hutan kayu bakau serta tepi pantai kerana melarikan diri daripada wakil ejen pencari kerja yang mencari mereka.

“Kami pernah ditangkap semula. Ejen yang berang bukan saja memukul, malah mengugut akan menghantar isteri bekerja di tempat tidak elok.

“Selepas itu, kami diminta menandatangani perjanjian baru iaitu jika kami melarikan diri dan mereka dapat menahan seorang daripada kami, maka dia akan menanggung segala hutang,” katanya.

Baginya, semua mimpi ngeri itu bermula pada 6 Oktober lalu selepas menjalani temuduga di Kuching.

Dia dan isterinya diterbangkan ke Senai, Johor, sebelum dibawa masuk ke sini.Setibanya di Geylang, katanya, mereka dikumpulkan di pejabat bersama kira-kira 30 orang lain, manakala Nor Alma diminta duduk di tengah kumpulan terbabit.

“Selama seminggu, kami hanya dihidangkan mi segera sebagai sarapan dan nasi berlaukkan sardin sebagai makanan tengah hari, hingga satu hari saya diminta menandatangani beberapa dokumen, tapi tidak dibenarkan membacanya.

“Saya dihantar bekerja di Sungai Gadot sebagai buruh membuat kandang babi dan menetap di asrama disediakan, manakala isteri dipisahkan dan bekerja di sebuah kilang tauhu di Sonoko.“Saya merayu supaya dipindahkan berhampiran isteri, tapi ejen berkenaan memberitahu mereka sengaja memisahkan kami supaya tinggal berjauhan,” katanya.

Hafiza dan Nor Alma bagaimanapun dapat menghubungi keluarga di kampung halaman untuk memberitahu kedudukan masing-masing, sebelum nekad melarikan diri sebelum berjumpa di tempat dijanjikan.

Katanya, seminggu selepas itu, mereka dijumpai wakil ejen yang berkeliaran dengan tugas khas mencari pekerja Malaysia yang melarikan diri.Selepas ditahan semula, dakwa Hafizi, dia dipukul dan perlu menandatangani perjanjian baru, iaitu jika mereka melarikan diri dan seorang daripada mereka ditemui, dia yang akan menanggung hutang.

Sebelum melarikan diri, mereka dikenakan bayaran S$2,800 seorang tetapi selepas ditahan, hutang mereka menjadi S$6,800.Selepas kecederaannya pulih, dia dihantar bekerja di Lapangan Terbang Changi, manakala isterinya ke Toa Payoh.

“Saya tidak tahu di mana isteri berada hingga seorang rakan memberinya sebuah telefon bimbit lalu menelefon saya.

“Nor Alma mengatakan dia ditempatkan di asrama yang dipenuhi lelaki, menyebabkan saya nekad pergi menyelamatkannya. Kami kini hidup merempat dan mengharapkan bantuan rakyat Malaysia lain memberikan makanan kerana kami tidak mempunyai wang sesen pun.

“Kadang-kala kami dibelanja makan sekali sehari, tapi jika tidak, kami akan mencari sisa makanan dalam tong sampah berhampiran untuk mengisi perut,” katanya.

Disebabkan mereka pernah ditahan wakil ejen, pasangan terbabit tidak berani keluar bersendirian, malah terpaksa tinggal di tempat lebih tersorok supaya sukar dikesan.


Agensi haram tidak daftar MOM
JOHOR BAHRU: Kebanyakan kes rakyat Malaysia ditipu untuk bekerja di Singapura didalangi agensi beroperasi secara haram dan tidak mendaftar dengan Kementerian Sumber Manusia (MOM) republik itu.

Perkara itu disahkan hasil siasatan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura berkenaan yang menganggarkan 1,040 rakyat Malaysia hidup merempat di negara itu.

Pesuruhjaya Tingginya, Datuk N Parameswaran, berkata agensi pekerjaan haram itu beroperasi dengan menampal iklan peluang pekerjaan di Singapura di merata tempat seperti di hentian bas dan kaki lima di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Menurut Parameswaran, pihaknya mengakui tidak dapat membantu rakyat negara ini, yang terkandas di republik berkenaan untuk pulang selagi tidak menjelaskan bayaran RM50 (S$22) bagi mendapatkan Sijil Kecemasan (EC).

“Walaupun semua rakyat Malaysia yang terkandas itu hanya tinggal sehelai sepinggang dan hidup merempat di negara jiran, namun bayaran terbabit perlu dijelaskan berdasarkan peruntukan undang-undang Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya ketika dihubungi di Singapura, semalam.

Parameswaran berkata, pihaknya beberapa kali cuba membantu golongan berkenaan pulang ke Malaysia, dengan memberikan pengecualian bayaran EC, malangnya tidak dibenarkan Jabatan Imigresen Singapura.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia termaktub dalam undang-undang.“Bagaimanapun, menerusi wang Kelab Suruhanjaya Tinggi, kakitangan dan pegawai kita membantu dengan menyediakan makanan atau memberikan sedikit wang saku kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, sejak Januari hingga November tahun ini, dianggarkan kira-kira 1,040 rakyat Malaysia hidup merempat di Singapura dengan tinggal di bawah jejambat, belukar serta di kawasan terpencil selepas lari daripada majikan masing-masing.

Beliau berkata, masalah itu serius kerana membabitkan imej negara, malah golongan terbabit boleh dikenakan hukuman lebih berat jika ditahan pihak berkuasa Singapura kerana tinggal tanpa dokumen sah.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran iklan itu akan bertemu ejen berkenaan bagi membincangkan peluang pekerjaan di sana (Singapura), sebelum dihantar ke republik berkenaan,” katanya.

sumber: hmetro.com.my

 0 Comments:

Post a Comment

<< Home